Haiwan

Kajian Dedah Kebanyakan Kucing Suka Tidur Mengiring ke Kiri, Tapi Kenapa Ya?

Kucing memang raja tidur. Mereka boleh tidur antara 12 hingga 16 jam sehari! Tapi kajian terbaru mendapati, kebanyakan kucing sebenarnya lebih suka tidur mengiring ke sebelah kiri.

Dah memang kita tahu kucing suka tidur di tempat tinggi, contohnya atas pokok kucing, atas almari, atas beg baju yang dah berzaman tak dibuka. Semua ini ada kaitan dengan naluri mereka untuk ‘pantau’ keadaan sekitar dan jauh dari pemangsa.

Kajian ni mencadangkan, posisi badan semasa tidur pun mungkin ada tujuan keselamatan yang sama. Tidur mengiring ke kiri mungkin beri kelebihan kepada otak bahagian kanan untuk peka dengan ancaman dan bantu kucing bertindak lebih cepat bila terjaga.

Menurut pakar neurosains tingkah laku, Prof. Onur Güntürkün dari Ruhr University Bochum, belah kanan otak lebih cekap dalam mengesan ancaman dan mengurus tindak balas pantas. Bila kucing tidur mengiring ke kiri, bahagian kiri penglihatan mereka (yang dikawal otak kanan) tidak terlindung, jadi lebih bersedia kalau ada ‘musuh’ datang kacau waktu tidur.

Kajian ini bukan sembarangan. Pasukan penyelidik analisis 408 video YouTube kucing yang tengah tidur. Hasilnya? Dua pertiga kucing lebih suka tidur mengiring ke kiri. Kajian ni diterbitkan dalam Current Biology.

Penulis kajian menambah, masa tidur adalah saat paling ‘lemah’ bagi haiwan, sebab tahap waspada mereka memang rendah. Jadi, posisi tidur mungkin adalah adaptasi semula jadi untuk kurangkan risiko bahaya semasa tidur.

Walaupun teori ini logik, masih banyak faktor lain yang mungkin memainkan peranan. Tapi sekurang-kurangnya sekarang kita ada sebab saintifik kenapa kucing suka ‘menghadap kiri’ bila lena atas sofa. Jadi lepas ni, kalau nampak kucing tidur mengiring ke kiri, kita tahu dia tengah ‘standby’ kalau-kalau tuannya datang kacau nak peluk!

sumber