Ozempic tak cukup power?Kajian buktikan ada cara 5 Kali Ganda Lebih Efektif Daripada Ozempic
Ramai yang tahu keberkesanan ubat seperti Ozempic dan ubat semaglutide lain dalam membantu penurunan berat badan. Tapi, kajian terbaru menunjukkan jika dibandingkan dengan pembedahan ubat-ubatan ini masih jauh ketinggalan. Bezanya bukan sikit!
Sekumpulan penyelidik dari Universiti New York (NYU) telah membuat perbandingan antara dua jenis pembedahan bariatrik iaitu sleeve gastrectomy dan gastric bypass dengan ubat semaglutide atau tirzepatide. Ubat-ubat ini dikenali sebagai GLP-1 receptor agonist, yang berfungsi mengawal selera makan dengan meniru hormon semula jadi dalam badan.
Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan rekod kesihatan pesakit dan memadankan mereka yang mengambil ubat GLP-1 dengan mereka yang menjalani pembedahan, berdasarkan umur, indeks jisim badan (BMI) dan tahap gula dalam darah.
Keputusan mengejutkan:
Pesakit yang menjalani pembedahan hilang purata 25.7% daripada berat badan mereka dalam tempoh dua tahun. Manakala pesakit yang bergantung pada ubat hanya kehilangan sekitar 5.3%.
Kenapa perbezaan begitu besar?
Salah satunya, ramai pesakit tak konsisten ambil ubat GLP-1 untuk jangka panjang. Sebaliknya, pembedahan memberi kesan yang lebih kekal. Malah, kajian ini juga menunjukkan bahawa walaupun dalam tempoh pendek, pembedahan tetap beri hasil yang lebih baik.
Menurut Dr. Avery Brown, seorang doktor pelatih di NYU Langone Health, “Data klinikal menunjukkan GLP-1 boleh bantu turunkan berat badan antara 15% ke 21%, tapi kajian sebenar ini menunjukkan penurunan jauh lebih rendah dalam dunia sebenar, walaupun pesakit dapat preskripsi penuh untuk setahun.”
Tambah beliau lagi, “Sehingga 70% pesakit berhenti rawatan dalam masa setahun. Mereka yang guna ubat GLP-1 mungkin perlu ubah jangkaan, lebih disiplin dengan rawatan atau pertimbangkan pembedahan jika mahu hasil yang lebih ketara.”
Namun, satu perkara penting:
Kajian ini dibiayai oleh Persatuan Pembedahan Metabolik dan Bariatrik Amerika (ASMBS) – jadi sudah tentu mereka cenderung mempromosikan kaedah pembedahan. Tapi itu tak bermakna ubat-ubatan seperti semaglutide tak berkesan. Ia masih memberi manfaat, terutama dalam pengurusan penyakit seperti diabetes.
Malah, ubat Ozempic pada asalnya digunakan untuk rawatan diabetes jenis 2, kerana ia membantu turunkan gula dalam darah. Kajian lain juga menunjukkan ia mungkin dapat mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung. Tapi dalam kajian ini, pembedahan nampaknya memberi kawalan gula yang lebih baik berbanding ubat.
Tapi bukan bermaksud pembedahan itu mudah atau sesuai untuk semua.
Walaupun selamat, ia tetap prosedur yang invasif, tak boleh undur balik, dan pesakit masih perlu ikut diet dan senaman ketat selepas pembedahan.
Akhir kata daripada Dr. Karan Chhabra, pakar bedah bariatrik dari NYU:
“Dalam kajian akan datang, kami nak kenal pasti bagaimana doktor boleh bantu tingkatkan hasil rawatan GLP-1, siapa lebih sesuai untuk pembedahan, dan bagaimana kos rawatan mempengaruhi keberkesanan.”
Kajian ini telah dibentangkan dalam mesyuarat tahunan ASMBS 2025.





