Rawatan Baharu Ini Mungkin Boleh Pulihkan Diabetes Jenis 1 Kronik, Kata Kajian
Bayangkan jika penghidap diabetes jenis 1 kronik tak perlu lagi bergantung kepada suntikan insulin seumur hidup. Bunyi macam mustahil, kan? Tapi satu kajian terbaru menunjukkan harapan itu mungkin jadi kenyataan.
Dalam kajian klinikal yang dijalankan, 12 orang pesakit diabetes jenis 1 yang serius menunjukkan perubahan ketara selepas menerima rawatan menggunakan sel stem. Apa yang mengagumkan, 10 daripada mereka berjaya berhenti sepenuhnya daripada ambil insulin selepas 12 bulan rawatan.
Rawatan ini dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal dari Boston iaitu Vertex Pharmaceuticals, dan diberi nama zimislecel. Ia melibatkan infusi sel islet pankreas yang dihasilkan daripada sel stem manusia.

Macam mana rawatan ini berfungsi?
Bagi penghidap diabetes jenis 1, sistem imun badan mereka menyerang dan merosakkan sel dalam pankreas yang menghasilkan insulin. Ini menyebabkan mereka perlu bergantung kepada suntikan insulin sepanjang hayat.
Dalam rawatan zimislecel ini, pesakit menerima sel islet baru yang boleh hasilkan insulin secara semula jadi dalam badan. Sebelum dan selepas infusi, pesakit diberi ubat untuk menekan sistem imun supaya badan tak tolak sel baru tersebut.
Hasilnya? Sel islet tersebut bukan saja berfungsi, malah boleh mengawal pengeluaran insulin pada tahap yang selamat. Ini mengurangkan keperluan pesakit terhadap dos insulin yang mahal dan menyusahkan.
Ada risiko tak?
Ya, macam semua rawatan baru, ada kesan sampingan. Antaranya, penurunan fungsi buah pinggang dan pengurangan sel imun akibat rawatan imunosupresif. Dua peserta kajian meninggal dunia, seorang akibat jangkitan selepas pembedahan dan seorang lagi kerana masalah kesihatan yang tak berkaitan. Tapi penting untuk tahu, tiada kesan buruk serius yang dikaitkan terus dengan terapi zimislecel itu sendiri.
Disebabkan keputusan kajian awal ini sangat memberangsangkan, rawatan ini kini sedang memasuki fasa ketiga ujian klinikal, yang akan melibatkan lebih ramai pesakit untuk pastikan keberkesanan dan keselamatannya dalam jangka panjang.
Apa kata para penyelidik?
“Penemuan ini menunjukkan sel islet boleh dihasilkan daripada sel stem dan digunakan untuk merawat diabetes jenis 1,” kata Dr Trevor Reichman dari Universiti Toronto, yang mengetuai kajian ini.
Ini sangat penting kerana sebelum ini, rawatan sel islet hanya boleh dibuat melalui pendermaan organ, yang sangat terhad dan perlukan lebih daripada seorang penderma untuk seorang pesakit. Dengan sel stem, ia membuka ruang kepada rawatan yang lebih mudah diakses dan konsisten.
Harapan baru untuk jutaan pesakit
Dianggarkan 8.4 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes jenis 1. Kajian ini memberi harapan besar bahawa suatu hari nanti, mereka tak perlu lagi bergantung kepada insulin seumur hidup, dan boleh hidup dengan lebih bebas.
Kajian penuh telah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (NEJM).





