Ada Garisan ‘Halimunan’ Yang Haiwan Tak Pernah Lintasi. Ini Sebabnya
Pernah dengar tentang Garisan Wallace? Ia bukan sempadan negara atau garisan cuaca, tapi satu sempadan “halimunan” yang memisahkan haiwan di Asia dan Australia — dan yang peliknya, kebanyakan haiwan langsung tak pernah lintas garisan ini, termasuk burung!
Garisan misteri ini dah wujud lebih 30 juta tahun, dan sejak itu ia membentuk evolusi haiwan dengan cara berbeza di kedua-dua belah garisan.

Asal-usul Garisan Wallace
Semuanya bermula bila plat tektonik Australia “bertembung” dengan plat Eurasia dan menghasilkan gugusan kepulauan di kawasan yang kini dikenali sebagai Indonesia. Akibatnya, arus laut berubah, iklim baru terbentuk, dan dunia haiwan pun terbahagi.
Di sebelah barat (Indonesia dan Malaysia), hiduplah monyet, kera, harimau, badak, dan gajah. Tapi bila lintas ke timur (New Guinea dan Australia), kita jumpa kanggaru, koala, platipus, burung kakaktua, dan tikus marsupial. Sangat sedikit spesies yang hidup di kedua-dua belah.
Siapa Wallace?
Garisan ni dinamakan sempena Alfred Russel Wallace, seorang naturalis yang pada abad ke-19 perasan perbezaan besar dalam haiwan antara pulau Bali dan Lombok – walaupun jaraknya cuma 24 kilometer!
“Selat Lombok hanya 15 batu lebar, tapi ia benar-benar memisahkan dua dunia haiwan yang sangat berbeza,” tulis Wallace dalam catatannya.
Yang menarik, Wallace juga mengembangkan teori evolusi secara bebas pada masa yang sama dengan Charles Darwin. Garisan yang dia lukis pada peta lebih 100 tahun lalu masih digunakan hari ini sebagai sempadan penting dalam dunia biologi dan geologi.
Kenapa Haiwan Tak Lintas?
Garisan ini sebenarnya memisahkan dua ‘shelf’ geologi – satu milik benua Asia, satu lagi milik Australia. Yang membuatkan haiwan susah nak lintas ialah lautan dalam seperti Selat Lombok. Walaupun paras laut pernah lebih rendah suatu masa dulu, jurang dalam ni tetap wujud dan menjadi penghalang semula jadi.
Burung pun jarang melintasi garisan ini. Malah, ada kajian genetik menunjukkan ikan dan mikrob dalam laut di sebelah sini dan sana pun berbeza, menandakan tiada banyak pencampuran antara populasi.
Faktor Iklim & Habitat Main Peranan
Kajian tahun 2023 ke atas lebih 20 ribu spesies haiwan bertulang belakang mendapati bahawa haiwan dari Asia tenggara berkembang dalam persekitaran tropika dan lembap, jadi mereka senang merentasi pulau-pulau kecil ke arah timur.
Sebaliknya, haiwan dari benua Australia berevolusi dalam keadaan lebih kering, jadi mereka susah nak sesuaikan diri bila sampai ke kawasan tropika yang lembap. Ini menyebabkan mereka kurang daya saing di kawasan tengah seperti Indonesia.
Garisan Tapi Bukan Sempadan Mutlak
Walaupun ramai anggap Garisan Wallace sebagai sempadan yang jelas, kajian terbaru kata garisan ini lebih kepada ‘zon peralihan’, bukannya sempadan keras. Ada juga haiwan seperti kelawar, cicak besar, kumbang dan monyet yang berjaya merentasnya.
Tapi tetap, garisan ini sangat berguna untuk bantu saintis fahami evolusi ribuan spesies. Macam mana satu garisan kasar atas peta dulu kini menjadi kunci untuk faham alam semula jadi dunia.
Seperti yang dikatakan oleh sejarawan sains Jane Camerini, “Peta dalam fikiran dan peta sebenar yang digunakan oleh Darwin dan Wallace adalah ‘papan permainan’ utama bagi teori evolusi, setaraf pentingnya dengan skala masa geologi.”





