Pemanis Semula Jadi Bantu Rawatan Botak Jadi Lebih Berkesan, Kajian Dedah
Masalah rambut gugur atau botak semakin biasa, terutama dalam kalangan lelaki, dan salah satu rawatan paling popular minoxidil kini mungkin jadi lebih berkesan dengan tambahan bahan semula jadi daripada tumbuhan stevia, iaitu stevioside.
Minoxidil ialah ubat sapu yang digunakan untuk merawat androgenetic alopecia (AGA), iaitu masalah rambut gugur berpola biasa. Ia berfungsi dengan meningkatkan aliran darah ke folikel rambut supaya rambut tumbuh semula. Tapi ada satu masalah besar hanya sedikit minoxidil yang sebenarnya dapat diserap ke kulit kepala.
Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik cuba pelbagai cara untuk tingkatkan penyerapan ubat ini, termasuk menggunakan tampalan microneedle sejenis jarum halus mikro yang membantu bahan aktif masuk lebih dalam ke kulit.
Dalam kajian terbaru oleh saintis dari China dan Australia, mereka gabungkan stevioside dengan tampalan microneedle. Stevioside dipilih sebab ia membantu minoxidil larut lebih baik dalam air, jadi ubat itu lebih mudah diserap ke dalam kulit dan sampai ke folikel rambut.
Kajian ni dijalankan pada tikus yang diubah genetik untuk mengalami keguguran rambut, dan hasilnya cukup menggalakkan. Dengan kombinasi baharu ini, lebih banyak minoxidil berjaya menembusi kulit dan pertumbuhan rambut pun jauh lebih ketara.

Menurut laporan penyelidik, “Kami dapati peningkatan ketara dalam jumlah folikel rambut yang memasuki fasa pertumbuhan, dengan liputan rambut mencapai 67.5% pada hari ke-35.”
Sebagai perbandingan, tikus yang hanya dirawat dengan minoxidil biasa cuma menunjukkan 25.7% liputan rambut dalam tempoh masa sama. Lebih menarik, rambut mula tumbuh seminggu lebih awal dengan rawatan stevioside ini.
Namun, para penyelidik mengingatkan bahawa ini baru ujian pada tikus, bukan manusia. Masih banyak perkara perlu diselidik termasuk jenis microneedle terbaik (logam, boleh larut, atau sistem pelepasan berterusan) dan cara paling selamat untuk digunakan pada kulit manusia.
Kajian lanjut juga perlu dijalankan pada haiwan yang lebih besar sebelum boleh diteruskan ke ujian klinikal manusia. Pada masa sama, penyelidik ingin pastikan rawatan ini sesuai digunakan secara berkala, sebab minoxidil biasa perlu disapu setiap hari untuk kekal berkesan.
Menurut Lifeng Kang, ahli farmakologi dari University of Sydney, “Penggunaan stevioside untuk meningkatkan penyerapan minoxidil adalah langkah menjanjikan ke arah rawatan rambut gugur yang lebih semula jadi dan berkesan. Ini berpotensi membantu berjuta-juta orang di seluruh dunia.”
Kajian penuh ini diterbitkan dalam jurnal Advanced Healthcare Materials.





