Alam Kesihatan

Otak Boleh ‘Digodam’ Parasit Kucing? Kajian Ini Buktikan Ya

Anda suka kucing? Hati-hati. Kajian terbaru menunjukkan bahawa parasit biasa yang dikaitkan dengan kucing boleh mengganggu fungsi otak manusia secara serius.

Parasit yang dimaksudkan ialah Toxoplasma gondii, yang menyebabkan jangkitan dikenali sebagai toksoplasmosis. Walaupun hanya sebilangan kecil sel otak dijangkiti, kesannya sangat ketara kerana ia boleh mengganggu komunikasi antara sel-sel neuron dalam otak.

Kajian ini menggunakan sel otak tikus, sebahagiannya ditanam dalam makmal dan sebahagiannya diambil daripada haiwan hidup. Hasilnya menunjukkan bahawa neuron yang dijangkiti melepaskan jumlah yang lebih sedikit vesikel ekstrasel, iaitu bungkusan kecil yang biasanya digunakan oleh sel untuk berkomunikasi.

Emma Wilson, pakar imunologi parasit dari Universiti California Riverside berkata, gangguan dalam komunikasi ini boleh menjejaskan keseimbangan kimia otak. Walaupun hanya beberapa sel dijangkiti, ia cukup untuk mengubah cara otak berfungsi secara keseluruhan.

Parasit ini memang terkenal kerana boleh mengubah tingkah laku hosnya. Ia suka tinggal dalam neuron dan boleh menembusi penghalang darah ke otak. Sekali masuk, ia boleh ‘bersembunyi’ dalam otak selama bertahun-tahun tanpa dikesan.

Walaupun kajian sebelum ini pernah mencadangkan bahawa parasit ini boleh menyebabkan perubahan tingkah laku seperti menjadikan tikus tertarik kepada bau air kencing kucing, bukti yang ada masih belum cukup kukuh, terutamanya pada manusia. Tingkah laku manusia terlalu kompleks untuk disimpulkan begitu saja.

Yang menarik dalam kajian terbaru ini ialah ia memberi fokus kepada bukti fizikal dan bukannya tingkah laku. Penyelidik mendapati bahawa kandungan vesikel yang dihasilkan oleh neuron dijangkiti juga berbeza daripada sel yang sihat. Ini memberi kesan kepada sel sokongan otak yang dikenali sebagai astrocyte.

Antara kesannya ialah peningkatan aktiviti imun dan penurunan keupayaan untuk menyingkirkan glutamat berlebihan dalam otak. Glutamat berlebihan boleh menyebabkan sawan dan kerosakan otak, sesuatu yang memang dikaitkan dengan toksoplasmosis yang serius.

Menurut Wilson, parasit ini mungkin memainkan peranan yang lebih besar dalam gangguan saraf dan tingkah laku berbanding apa yang kita sangka selama ini.

Apa yang mengejutkan, ramai manusia sebenarnya sudah dijangkiti parasit ini tanpa sedar. Ia boleh merebak melalui makanan kurang masak atau pendedahan kepada najis kucing. Di sesetengah negara, kadar jangkitan boleh mencecah 80 peratus, manakala di Amerika Syarikat dianggarkan antara 10 hingga 30 peratus penduduk dijangkiti.

Kebanyakan orang tidak akan mengalami gejala, tetapi bagi bayi, warga emas, wanita hamil dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, jangkitan ini boleh menjadi sangat berbahaya.

Langkah pencegahan yang berkesan termasuklah memastikan daging dimasak dengan sempurna, mencuci sayur-sayuran dengan bersih, dan mencuci tangan dengan betul selepas menguruskan najis kucing.

Wilson menambah, otak manusia sebenarnya ada keupayaan semula jadi untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap neuron yang dijangkiti. Jika kita dapat memahami bagaimana mekanisme ini berfungsi, kita boleh mencari jalan untuk membantu badan melindungi diri, terutama bagi mereka yang paling terdedah.

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal PLOS Pathogens.

Jadi, walaupun kucing anda nampak comel dan manja, pastikan anda sentiasa berhati-hati. Parasit kecil ini mungkin tak kelihatan, tapi kesannya cukup besar.

You may also like

Kesihatan

Ozempic tak cukup power?Kajian buktikan ada cara 5 Kali Ganda Lebih Efektif Daripada Ozempic

Ramai yang tahu keberkesanan ubat seperti Ozempic dan ubat semaglutide lain dalam membantu penurunan berat badan. Tapi, kajian terbaru menunjukkan
Kesihatan

Kajian Baru: Asyik Duduk Je? Ini Cara Nak ‘Balance’ Semula Kesan Buruk Duduk Terlalu Lama

Kita semua tahu duduk lama sangat tak elok untuk badan. Tapi persoalannya, kalau dah memang kerja depan komputer dari pagi