Ubat Baru Turunkan Berat Badan Ini Hanya Perlu Diambil Sebulan Sekali
Ubat seperti Ozempic yang mengandungi bahan aktif semaglutide kini semakin popular dalam kalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan. Tapi baru-baru ini, satu lagi ubat dari kumpulan yang sama berjaya menarik perhatian selepas menunjukkan keberkesanan tinggi dalam ujian klinikal fasa 2 dan hanya perlu diambil sekali sebulan.

Ubat ini dinamakan MariTide atau nama penuhnya maridebart cafraglutide. Dalam kajian yang melibatkan 465 individu obes, pesakit berjaya menurunkan antara 12.3 hingga 16.2 peratus berat badan dalam masa setahun. Sebagai perbandingan, kumpulan yang menerima ubat palsu (placebo) hanya turun sekitar 2.5 peratus.
Untuk 127 peserta lain yang menghidap obesiti dan diabetes jenis 2 serentak, penurunan berat badan adalah antara 8.4 hingga 12.3 peratus, berbanding hanya 1.7 peratus untuk kumpulan placebo.
Kajian ini dijalankan oleh syarikat biofarmaseutikal Amgen bersama beberapa institusi dari Amerika Syarikat dan Australia. Mereka percaya rawatan ini berpotensi menjadi alternatif kepada ubat seperti Ozempic yang perlu disuntik setiap minggu. Dengan hanya satu suntikan setiap bulan, pesakit dijangka lebih konsisten dalam mengikuti rawatan.
Menurut kajian yang diterbitkan, MariTide berfungsi seperti ubat GLP-1 yang lain. Ia menyasarkan reseptor GLP-1 dalam otak dan pankreas untuk mengurangkan selera makan serta mengawal paras gula darah.
Yang menjadikan MariTide lebih menarik, ia juga menyasarkan reseptor GIP iaitu glucose-dependent insulinotropic polypeptide yang memainkan peranan dalam kawalan insulin, simpanan lemak, metabolisme dan rasa lapar. Inilah antara sebab ia hanya perlu diambil sebulan sekali.
Jay Bradner, Naib Presiden Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan di Amgen berkata, “MariTide menunjukkan keberkesanan yang sangat tinggi, termasuk penurunan berat badan yang berterusan tanpa plateau sepanjang 52 minggu serta penambahbaikan ketara terhadap risiko kesihatan berkaitan jantung dan metabolik.”
Namun seperti kebanyakan ubat lain, MariTide juga ada kesan sampingan. Hampir semua peserta mengalami sekurang-kurangnya satu kesan negatif, kebanyakannya berkaitan masalah sistem penghadaman seperti muntah dan cirit-birit.
Walau begitu, kesan ini menjadi lebih ringan apabila dos penuh diberikan secara berperingkat, dan ini mungkin cara terbaik untuk mulakan rawatan di masa depan.
Masih banyak yang perlu dikaji. Ujian klinikal fasa 3 sedang dirancang dan akan melibatkan kumpulan peserta yang lebih besar serta tempoh kajian yang lebih panjang.
Pasukan penyelidik percaya MariTide mungkin mampu memberikan kesan penurunan berat badan yang lebih besar jika digunakan melebihi setahun. Dengan kadar obesiti dunia yang terus meningkat, rawatan seperti ini amat diperlukan.
“Kami dapati penurunan berat masih berterusan walaupun sudah masuk minggu ke-52, tanpa sebarang tanda plateau. Jadi kajian jangka panjang amat diperlukan untuk melihat keberkesanan sepenuhnya,” tulis para penyelidik.
Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine





