Kesihatan

Media Sosial Mungkin Lambatkan Proses Penyembuhan Kecederaan. Ini Sebabnya.

Bila Kim Kardashian muncul di majlis pelancaran butik SKIMS di New York dengan skuter lutut, stiletto di sebelah dan simen pereka di sebelah lagi, dia bukan sekadar menghadiri majlis. Dia sedang cipta kandungan.

Dan dia bukan satu-satunya selebriti yang buat begitu.

Tahun 2024, rapper Kid Cudi patah kaki semasa festival Coachella dan jadikan perjalanan pemulihannya sebagai kandungan viral. Dari gambar pakai boot pembedahan sampai video jalan pakai tongkat, semuanya jadi bahan tontonan jutaan orang.

Soalnya sekarang, trend ini bantu ke tak untuk sembuh? Atau sebenarnya dorong orang ambil risiko dan percepat pemulihan secara tak selamat?

Buka saja mana-mana media sosial, pasti ada video orang cedera pergi pasar raya, menari dengan tongkat, atau bersenam dengan boot kecederaan.

Hashtag seperti #BrokenFootClub dan #InjuryRecovery melahirkan komuniti dalam talian yang aktif. Orang ramai kongsi petua, luahkan rasa, dan dokumentasi proses sembuh mereka. Ada yang beri sokongan, tapi ada juga yang terlalu fokus pada kemajuan pantas dan tak tunjuk sisi sebenar penyembuhan yang perlahan dan kadang menyakitkan.

Dulu orang patah kaki rehat saja. Sekarang boleh dapat jutaan tontonan.

Sebenarnya, tengok orang lain hadapi proses pemulihan boleh jadi sumber motivasi. Ada yang buat kita rasa tak keseorangan, dan ada pula yang tunjuk cara naik tangga dengan tongkat atau bersenam perlahan-lahan.

Ramai juga profesional kesihatan seperti pakar fisioterapi dan pakar ortopedik mula guna media sosial untuk kongsi info betul dan selamat. Bagi yang sukar akses rawatan fizikal, kandungan macam ni sangat berguna.

Tapi tak semua kandungan berkualiti. Dan tak semua selamat.

Masalah mula timbul bila ‘rehat’ dah tak jadi sebahagian daripada naratif di media sosial. Video yang paling viral selalunya datang dari influencer, bukan pakar. Ada yang buang tongkat awal, lompat sendiri walaupun belum sembuh, atau terus buat senaman berat – semua sebab nak kejar tontonan.

Realitinya, penyembuhan itu perlahan, kadang tak selesa, dan tak ‘glamour’. Tulang, otot dan ligamen tak kisah berapa ramai followers kita.

Penyembuhan sebenar perlukan masa dan progres yang tersusun – perlahan-lahan tambah beban dan pergerakan. Kalau abaikan proses ini, risiko kecederaan semula, sakit kronik atau masalah jangka panjang seperti sakit belakang dan sendi meningkat.

Kajian tahun 2025 ke atas kandungan TikTok berkaitan kecederaan lutut menunjukkan kebanyakan video dibuat oleh orang awam, bukan pakar. Banyak maklumat tidak lengkap atau salah. Kajian itu beri amaran bahawa ini boleh sebabkan pesakit buat keputusan salah dan lambat sembuh.

Pakar fisioterapi kini dah mula nampak kesannya. Ramai pesakit datang dengan jangkaan tak realistik kerana terlalu banyak tengok video pemulihan selebriti. Ada yang kecewa bila pemulihan mereka tak sepantas yang mereka lihat. Ada juga yang buat senaman berat terlalu awal sampai kecederaan jadi makin teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga dah bagi amaran tentang bahaya maklumat kesihatan palsu di media sosial. Bila media sosial ganti nasihat perubatan sebenar, risiko bukan saja lambat sembuh, tapi boleh jadi lebih serius.

Pemulihan bukan satu perlumbaan. Video viral dan kisah pemulihan selebriti boleh beri tekanan, buat kita rasa kena ‘cepat sembuh’. Tapi kebenarannya, setiap tubuh ada masa tersendiri untuk sembuh. Ia bukan ikut trend. Ia ikut biologi badan kita sendiri.

Kim Kardashian mungkin nampak bergaya dengan simen rekaan, tapi untuk kebanyakan orang, kaki patah bukan sesuatu yang menarik. Ia bermaksud berminggu-minggu bergerak perlahan, belajar adaptasi, dan menunggu.

Kandungan tentang mobiliti dan pemulihan boleh beri inspirasi, tapi ia bukan panduan mutlak untuk proses sembuh kita. Kalau cedera, tengoklah kandungan online dengan rasa ingin tahu, bukan untuk dibandingkan.

Ambil ilmu, tapi paling penting dengar pada badan sendiri. Proses sembuh itu peribadi. Bukan berdasarkan berapa banyak likes, tapi pada apa yang badan kita perlukan dan mampu lalui.

Sumber

You may also like

Kesihatan

Ozempic tak cukup power?Kajian buktikan ada cara 5 Kali Ganda Lebih Efektif Daripada Ozempic

Ramai yang tahu keberkesanan ubat seperti Ozempic dan ubat semaglutide lain dalam membantu penurunan berat badan. Tapi, kajian terbaru menunjukkan
Kesihatan

Kajian Baru: Asyik Duduk Je? Ini Cara Nak ‘Balance’ Semula Kesan Buruk Duduk Terlalu Lama

Kita semua tahu duduk lama sangat tak elok untuk badan. Tapi persoalannya, kalau dah memang kerja depan komputer dari pagi