Kulat ‘Sumpahan Tutankhamun’ Mungkin Sembunyikan Rahsia Penawar Kanser
Siapa sangka, kulat yang pernah dikaitkan dengan “kutukan Firaun” mungkin menyimpan rahsia ubat kanser masa depan!
Kulat ini dikenali sebagai Aspergillus flavus, sejenis kulat yang biasa ditemui di bahan organik yang reput dan pernah dikatakan menjadi punca kematian mereka yang buka makam Firaun Tutankhamun satu ketika dahulu. Tapi berita baiknya, kulat yang dianggap “berhantu” ini sebenarnya mungkin “penyelamat” dalam bidang perubatan moden.
Pasukan penyelidik dari University of Pennsylvania (UPenn) baru-baru ini mendapati bahawa A. flavus menghasilkan sejenis bahan semula jadi yang boleh melawan sel kanser, terutama leukemia.
Penemuan Bahan Anti-Kanser Dari Kulat
Dalam ujikaji makmal, apabila bahan semula jadi daripada A. flavus dicampur dengan sel kanser leukemia manusia, ia menunjukkan kesan yang sangat kuat setanding dengan ubat kemoterapi sedia ada.
Bahan ini dipanggil RiPPs (ribosomally synthesized and post-translationally modified peptides), dan biasanya dihasilkan oleh tumbuhan dan bakteria. RiPPs daripada tumbuhan dah lama dikaji dan terbukti berkesan, tapi versi kulat masih banyak belum diterokai.
“Walaupun hanya beberapa RiPPs kulat ditemui setakat ini, hampir kesemuanya ada bioaktiviti yang kuat,” kata Qiuyue Nie, jurutera biomolekul dari UPenn.
Dari Mitos ke Makmal

Nama Aspergillus flavus terkenal kerana dikaitkan dengan “sumpahan” selepas beberapa orang saintis mati selepas buka makam raja. Tapi kini, reputasi seramnya ditukar menjadi peluang penyelidikan.
Penyelidik mengkaji 12 jenis strain kulat Aspergillus dan menemui empat sebatian unik yang dinamakan asperigimycin. Dua daripadanya sangat berkesan terhadap sel leukemia, walaupun kurang memberi kesan pada kanser payudara, hati, atau paru-paru.
Tambah Lemak, Tambah Power?
Menariknya, bila salah satu sebatian asperigimycin ini diubah suai dengan menambah molekul lemak, keberkesanannya meningkat bukan hanya untuk leukemia, malah untuk satu jenis kanser payudara juga!
Lebih mengagumkan, versi diubah suai ini berfungsi setaraf dengan dua ubat kemoterapi popular: cytarabine dan daunorubicin.
Harapan Baru Dari Dunia Mikro
Menurut penyelidik, penambahan lipid ini mungkin bantu sebatian tersebut “masuk” dan kekal lebih lama dalam sel kanser, sekaligus mengganggu proses pembiakannya.
“Mengetahui bagaimana lipid mempengaruhi cara sebatian ini masuk ke dalam sel membuka lebih banyak ruang untuk pembangunan ubat baru,” jelas Nie.
Hampir 100 tahun selepas kulat berikan kita penicillin, kini ia berpotensi bawa kita ke era rawatan kanser generasi baru.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature Chemical Biology. Mungkin bukan ‘kutukan Firaun’, tapi ‘rahmat tersembunyi’ dari masa lampau.





