Game Changer! Suntikan Ini Cegah HIV Dengan Keberkesanan 99.9%
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 16 Jun yang lalu telah meluluskan suntikan pencegahan HIV yang hanya perlu diambil dua kali setahun oleh Gilead Sciences. Syarikat itu menyifatkan kelulusan ini sebagai satu langkah bersejarah dalam perjuangan menentang HIV, virus jangkitan seksual yang telah lama menjadi ancaman kesihatan global.
Ubat pencegah HIV, yang dikenali sebagai PrEP (pre-exposure prophylaxis), sebenarnya sudah wujud lebih sedekad. Tapi kerana kebanyakannya perlu diambil setiap hari dalam bentuk pil, keberkesanannya dalam menurunkan kadar jangkitan secara global masih belum ketara.

“Hari ini adalah hari bersejarah dalam perjuangan berdekad-dekad melawan HIV,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gilead, Daniel O’Day, dalam satu kenyataan.
Ubat baharu ini dikenali sebagai Lenacapavir, dan dipasarkan dengan nama Yeztugo. Dalam ujian klinikal, ubat ini telah menunjukkan keberkesanan mencegah jangkitan HIV melebihi 99.9 peratus dalam kalangan orang dewasa dan remaja – menjadikannya hampir setanding dengan vaksin yang sangat berkesan.
Lebih berkesan daripada pil harian
Gilead telah menjalankan dua ujian klinikal berskala besar. Ujian pertama melibatkan lebih 2,000 wanita di sub-Sahara Afrika. Hasilnya? Tiada satu pun jangkitan dicatatkan, malah ubat ini terbukti lebih baik daripada pil harian Truvada.
Ujian kedua pula melibatkan lebih 2,000 lelaki dan individu beridentiti jantina pelbagai. Hanya dua kes jangkitan direkodkan, dengan kadar pencegahan yang masih tinggi iaitu 99.9 peratus, sekali lagi mengatasi Truvada.
Kesan sampingan yang dilaporkan termasuk reaksi di tempat suntikan, sakit kepala dan loya.
Keputusan kedua-dua ujian ini telah diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine, dan jurnal Science menobatkan Lenacapavir sebagai “Penemuan Terbaik Tahun 2024.”
Harga jadi isu besar
Walaupun hasilnya mengagumkan, harapan tinggi terhadap ubat ini mungkin terjejas disebabkan harga yang dijangka terlalu mahal.
Sebelum ini, satu lagi suntikan pencegahan HIV jangka panjang – Cabotegravir, yang perlu disuntik setiap dua bulan – telah diluluskan pada tahun 2021. Tapi, disebabkan harganya yang mencecah puluhan ribu dolar setahun, kesannya terhadap penurunan jangkitan masih tidak signifikan di peringkat global.
Gilead belum umumkan harga rasmi Yeztugo, tapi penganalisis menjangkakan ia mungkin mencecah USD25,000 setahun di pasaran AS. Untuk kegunaan rawatan HIV, harga semasa Lenacapavir ialah sekitar USD39,000 setahun, tapi dijangka turun apabila digunakan untuk pencegahan.
Aktivis kesihatan mendesak Gilead turunkan harga secara drastik.
“Negara berpendapatan tinggi pun takkan mampu guna Lenacapavir secara besar-besaran jika harganya lebih USD20,000 setahun,” kata Andrew Hill dari Universiti Liverpool. Beliau dan pasukannya mendapati ubat ini sebenarnya boleh dihasilkan secara besar-besaran dengan kos serendah USD25 setahun setiap orang.
“Saya ucapkan tahniah kepada Gilead dan rakan AS kerana berjaya membawa inovasi penting ini,” tambah Winnie Byanyima, Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. “Lenacapavir boleh jadi alat yang kita perlukan untuk kawal jangkitan baharu – tapi hanya kalau ia mampu dimiliki dan diberi akses kepada semua yang memerlukan.”
Langkah pengedaran di negara miskin dan sederhana
Pada Oktober lalu, Gilead telah menandatangani perjanjian dengan enam syarikat farmaseutikal untuk menghasilkan dan mengedarkan versi generik Lenacapavir, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan, di 120 negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Tapi, kerana pengeluaran di negara-negara ini memerlukan masa, Gilead juga mengumumkan kerjasama berasingan dengan Global Fund, sebuah badan antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama pelan PEPFAR dari Amerika Syarikat, untuk membeli dos ubat bagi dua juta orang.
Namun, pemotongan bajet terhadap program PEPFAR semasa pentadbiran Presiden Donald Trump menimbulkan ketidaktentuan terhadap kesinambungan perjanjian ini.





