Burnout: Salah Kerja Atau Gaya Hidup? Kajian Ini Mungkin Ubah Cara Anda Fikir
Bila dengar perkataan burnout, majoriti daripada kita pasti kaitkan dengan kerja yang terlalu banyak, tekanan daripada bos, atau persekitaran tempat kerja yang tak sihat. Tapi kajian terbaru dari Norway ni mungkin akan ubah cara kita faham tentang burnout.
Kajian dari Norwegian University of Science and Technology (NTNU) mendapati bahawa kurang daripada 30 peratus individu yang mengalami burnout sebenarnya menyalahkan kerja mereka sebagai punca utama.

Ya, betul tu. Ramai sebenarnya alami burnout bukan sebab kerja, tapi sebab tekanan dalam kehidupan harian. Tekanan dari pelbagai sudut – masalah keluarga, kewangan, kesihatan, hubungan peribadi – semuanya boleh menyumbang kepada rasa penat yang melampau, hilang motivasi dan rasa hilang kawalan.
Burnout: Bukan Sekadar Masalah Tempat Kerja
Menurut psikologi Renzo Bianchi dari NTNU, ramai yang alami burnout ini sebenarnya rasa seperti kemurungan yang datang daripada tekanan hidup secara keseluruhan. Bukan semata-mata kerana kerja.
Kajian ini libatkan 813 pekerja di Norway. Ada yang mengaku alami simptom burnout, dan para penyelidik bandingkan faktor penyumbang yang peserta rasa jadi punca utama mereka rasa ‘burn out’.
Hasilnya? Hanya 27.7 peratus daripada mereka yang alami burnout rasa kerja adalah punca sebenar. Selebihnya, tekanan lain yang bukan berkaitan kerja lebih memberi kesan.
Yang menarik, faktor kerja seperti keselamatan pekerjaan dan sokongan rakan sekerja sebenarnya lebih berkait dengan tekanan psikologi secara umum, bukan burnout secara spesifik.
Personaliti Pun Main Peranan
Ada orang jenis mudah risau, selalu fikir yang buruk-buruk. Menurut Bianchi, orang macam ni akan cepat penat dan burn out walaupun kerja mereka mungkin tak terlalu berat. Sebab tu dia tekankan pentingnya untuk kaji lebih lanjut tentang kaitan personaliti dengan burnout.
Burnout bukan sekadar rasa penat biasa. WHO sendiri klasifikasikan burnout sebagai tekanan kronik yang berkaitan tempat kerja. Tapi kalau tekanan tu datang dari rumah, kesihatan, atau hal kewangan, adakah kita masih nak salahkan kerja semata-mata?
Perlu Ubah Cara Kita Lihat Burnout
Kajian ni bagi perspektif baharu. Mungkin dah sampai masa kita ubah definisi burnout. Jangan hanya fokus pada kerja sebagai punca. Sebab kalau kita hanya betulkan tempat kerja, tapi tekanan utama datang dari luar kerja, masalah burnout takkan selesai.
Burnout boleh jejaskan kesihatan fizikal dan mental dalam jangka panjang. Nak cegah burnout? Kajian ni kata antara caranya ialah:
- pastikan ada sokongan di tempat kerja
- rasa selamat dengan kerja yang kita ada
- pilih kerja yang kita rasa bermakna dan sesuai dengan diri
Tapi Bianchi juga akui, tak semua orang ada peluang buat kerja yang mereka cintai. Jadi penting untuk kita cari keseimbangan, dan jaga kesihatan mental sama seperti kita jaga kesihatan fizikal.
Kesimpulannya? Burnout bukan semata-mata pasal kerja. Ia pasal hidup. Dan bila kita faham benda ni, baru kita boleh cari jalan yang betul untuk pulih dan jaga diri.
Kajian ini telah diterbitkan melalui sumber.





