Ubat Kurus Tengah Popular Macam Ozempic Kini Dalam Siasatan. Ada Kaitan Dengan Masalah Pankreas?
Dalam dunia kecantikan dan kesihatan sekarang ni, ramai sangat yang mula ambil ubat kurus moden macam Ozempic, Wegovy dan Zepbound. Katanya boleh bantu turunkan berat badan dengan cepat, sampai ada yang viral kat TikTok dan media sosial. Tapi baru-baru ni, timbul pula cerita kurang best ubat-ubat ni sedang disiasat sebab mungkin ada kaitan dengan masalah pankreas.
Menurut laporan BBC, ratusan orang yang ambil ubat jenis ni lapor alami masalah pankreas yang serius, termasuk sakit perut melampau yang tak reda-reda. Ada kes sampai melibatkan kematian, 10 kes setakat ni. Seram, kan?

Sebab tu pihak berkuasa kesihatan UK (MHRA) bersama Genomics England tengah siasat sama ada faktor genetik jadi punca sesetengah orang lebih mudah terkena kesan sampingan ni. Kalau korang kat UK dan pernah guna ubat ni serta ada masalah lepas tu, boleh daftar kat laman web Yellow Card.
Ubat-ubat yang disiasat ni termasuk dalam kumpulan GLP-1 agonist, jenis ubat yang kawal gula darah dan nafsu makan. Tu yang buat ia berkesan untuk orang dengan kencing manis dan juga mereka yang nak kurus. Tapi ada dua jenis utama: satu berasaskan semaglutide (macam Ozempic dan Wegovy), satu lagi berasaskan tirzepatide (macam Mounjaro dan Zepbound). Yang tirzepatide ni dikaitkan dengan hampir separuh kes pankreatitis yang dilaporkan.
Cuma nak ingatkan, walaupun berita ni agak mengejutkan, tak bermakna semua orang yang guna ubat ni akan alami masalah sama. Kesan ubat ni berbeza ikut individu, bergantung juga pada tahap kesihatan, umur, genetik dan cara ubat tu diambil.
Satu yang penting sangat: jangan beli ubat ni secara sembarangan atau daripada sumber tak sah. Kena pastikan dapat preskripsi doktor, dan guna dengan pemantauan pakar. Ubat ni bukan untuk semua orang, dan walaupun berkesan, tetap ada risikonya.
Kalau siasatan ni dapat sahkan ada kaitan antara genetik dan kesan ubat, mungkin lepas ni kita boleh tahu siapa yang sesuai atau tak sesuai ambil ubat ni. Senang sikit untuk elak risiko lebih awal.
Apa-apa pun, kalau korang tengah guna ubat ni atau bercadang nak mula, elok sangat bincang dulu dengan doktor. Jangan ikut trend semata-mata. Ingat, kesihatan bukan eksperimen.





