Manusia

Imbasan Dedah Apa Persamaan Otak Seorang Psikopat

Kajian terbaru mendapati bahawa individu yang diklasifikasikan sebagai psikopat mempunyai persamaan dari segi struktur otak, berbeza daripada orang lain. Penemuan ini membuka jalan baharu dalam memahami gangguan personaliti ini dan potensi rawatan pada masa akan datang.

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Jülich dan Universiti RWTH Aachen, Jerman, menjalankan kajian dengan membandingkan imbasan otak lelaki yang didiagnosis sebagai psikopat dengan mereka yang tidak mempunyai ciri tersebut.

“Psikopati merupakan salah satu faktor risiko utama kepada keganasan serius dan berulang,” tulis pasukan penyelidik dalam jurnal mereka.

Mereka menggunakan alat penilaian dikenali sebagai Psychopathy Check-List (PCL-R) dan teknologi imbasan MRI ke atas 39 lelaki psikopat serta kumpulan kawalan (tanpa psikopati).

Para penyelidik memadankan struktur otak dengan penilaian psikopati.
(Pieperhoff et al., European Archives of Psychiatry and Clinical Neuroscience, 2025)

PCL-R ini menilai seseorang berdasarkan tiga skor:

  • Skor keseluruhan
  • Faktor 1 – ciri-ciri interpersonal dan emosi
  • Faktor 2 – tingkah laku impulsif dan antisosial

Kajian mendapati perbezaan paling ketara dalam struktur otak muncul dalam skor Faktor 2. Mereka yang memperoleh skor tinggi menunjukkan pengecilan saiz kawasan tertentu dalam otak, termasuk:

  • pons (batang otak)
  • thalamus
  • ganglia basal
  • korteks insula

Bahagian-bahagian ini penting dalam mengawal emosi, gerak balas terhadap maklumat deria, motivasi, dan keputusan – semuanya berperanan besar dalam bagaimana seseorang bertindak terhadap persekitaran.

Menariknya, otak golongan psikopat juga didapati lebih kecil sekitar 1.45% secara purata berbanding kumpulan kawalan. Ini mungkin menandakan isu perkembangan sejak kecil, walaupun lebih banyak kajian diperlukan untuk sahkan.

Menurut penulis kajian, perbezaan struktur ini berkait rapat dengan kawalan tingkah laku, sekali gus memberi gambaran bahawa ciri impulsif dan antisosial mungkin berpunca daripada faktor neurologi bersama yang boleh dikenalpasti.

Namun begitu, kajian ini berskala kecil dan tertumpu kepada lelaki, jadi dapatan ini perlu diperluaskan dengan lebih banyak data. Faktor lain seperti sejarah penyalahgunaan dadah atau trauma hidup juga mungkin memainkan peranan.

Walaupun psikopati bukan bermakna seseorang pasti ganas, tetapi ia sering dikaitkan dengan kekurangan empati, sifat manipulatif, dan kecenderungan bertindak tanpa berfikir. Dengan pemahaman lebih mendalam tentang keadaan ini, mungkin suatu hari nanti kita mampu mencegah atau menguruskan tingkah laku berisiko tinggi dengan lebih berkesan.

Penemuan ini telah diterbitkan dalam jurnal European Archives of Psychiatry and Clinical Neuroscience.

You may also like

AI Manusia

AI Buat Hidup Senang Tapi Otak Malas, Betul Ke?

Sejak ChatGPT muncul hampir tiga tahun lalu, impak kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI) terhadap cara kita belajar jadi topik
Kesihatan Manusia

Game Changer! Suntikan Ini Cegah HIV Dengan Keberkesanan 99.9%

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 16 Jun yang lalu telah meluluskan suntikan pencegahan HIV yang hanya perlu