Buang Air Besar: Terlalu Kerap atau Jarang, Mungkin Petanda Masalah Kesihatan – Kajian
“Berapa kerap anda buang air besar?” mungkin soalan yang agak peribadi, tapi jawapannya sebenarnya boleh memberi gambaran besar tentang tahap kesihatan tubuh anda secara keseluruhan.
Satu kajian yang diterbitkan pada Julai 2024 melibatkan 1,425 orang peserta, di mana kekerapan mereka membuang air besar dibandingkan dengan data kesihatan, genetik, dan demografi mereka.
Hasil kajian mendapati bahawa buang air besar terlalu kerap atau terlalu jarang kedua-duanya berkait dengan masalah kesihatan tertentu, manakala mereka yang membuang sekali atau dua kali sehari adalah yang paling sihat satu “zon Goldilocks” bagi kekerapan membuang.
“Kajian ini menunjukkan bagaimana kekerapan buang air besar boleh mempengaruhi keseluruhan sistem tubuh, dan bagaimana ketidakteraturan boleh menjadi faktor risiko dalam perkembangan penyakit kronik,” kata ahli mikrobiologi dari Universiti Washington, Sean Gibbons.
Boleh Jadi Petunjuk Awal Masalah Dalaman
Kajian yang dijalankan oleh pasukan dari Institute for Systems Biology (ISB) ini menumpukan kepada mereka yang dianggap “umumnya sihat” iaitu tiada sejarah penyakit buah pinggang atau masalah usus seperti penyakit Crohn, IBS atau kegagalan ginjal.

Para peserta memberikan sampel darah dan najis, serta melengkapkan soal selidik yang merangkumi diet, gaya hidup, dan status kesihatan mereka.
Mereka dikelaskan kepada empat kategori:
- Sembelit – hanya 1–2 kali seminggu
- Normal rendah – 3–6 kali seminggu
- Normal tinggi – 1–3 kali sehari (zon Goldilocks)
- Cirit-birit – 4 kali atau lebih sehari, najis cair
Para penyelidik kemudian menganalisis kandungan mikroba dalam najis, kimia darah, dan data genetik untuk mencari kaitan antara kekerapan ke tandas dengan kesihatan keseluruhan.
Apa yang Mereka Temui?
Mereka yang kurang kerap buang air besar cenderung terdiri daripada wanita, lebih muda dan mempunyai BMI yang rendah. Namun walaupun setelah mengambil kira faktor-faktor ini, mereka yang dalam kategori sembelit atau cirit-birit menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan yang lebih mendalam.
Contohnya, bakteria yang biasanya berada di bahagian atas sistem pencernaan dijumpai dalam jumlah besar dalam sampel najis peserta kategori cirit-birit, dan darah mereka menunjukkan biomarker yang dikaitkan dengan kerosakan hati.
Bagi peserta yang jarang buang air besar pula, sampel najis menunjukkan tahap tinggi bakteria yang memecahkan protein sesuatu yang memang dikenali sebagai risiko apabila mengalami sembelit.
“Kalau najis terlalu lama berada dalam usus, bakteria akan habiskan semua serat makanan yang ada. Bila serat habis, mereka mula pecahkan protein pula, dan hasilnya ialah toksin yang boleh meresap masuk ke dalam darah,” kata Johannes Johnson-Martinez, biojurutera dari ISB.
Antara metabolit yang dikesan ialah indoxyl-sulfate, produk hasil fermentasi protein yang diketahui boleh merosakkan buah pinggang. Ini memberikan bukti kukuh bahawa kekerapan buang air besar sebenarnya ada kaitan langsung dengan kesihatan organ dalaman.
Boleh Diubah Dengan Gaya Hidup Sihat
Kabar baiknya, tabiat buang air besar boleh diubah! Mereka dalam kategori “Goldilocks” iaitu yang membuang sekali atau dua kali sehari, melaporkan bahawa mereka makan lebih banyak serat, minum air secukupnya, dan lebih aktif secara fizikal. Najis mereka juga kaya dengan bakteria baik yang membantu mencerna serat.
Sudah tentu, semua orang pernah alami cirit-birit atau sembelit sekali-sekala mungkin lepas makan cheese terlalu banyak, atau masa kena keracunan makanan. Tapi kajian ini lebih melihat kepada pola harian dan rutin biasa, dan bagaimana “normal” bagi seseorang itu boleh jadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan yang tersembunyi.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Cell Reports Medicine.





